Salam semua dan helo pembaca setia!
Hari ni ada satu berita terkini (dan agak mengejutkan sikit untuk geng-geng bisnes) datang terus daripada Telekom Malaysia (TM). Kalau korang jenis yang selalu perhatikan nombor telefon pejabat atau servis perniagaan, mesti korang biasa dengar pasal nombor awalan 1-700.
Bagi yang tak berapa familiar, servis One Number Service (1-700) ni sebenarnya servis pintar yang TM perkenalkan dulu khas untuk perniagaan dan korporat. Konsep dia mudah: satu nombor tunggal yang boleh di-forward atau disambungkan ke mana-mana talian tetap atau nombor mudah alih. Kiranya, klien panggil satu nombor je, tak payah pening kepala nak ingat banyak nombor cawangan. Memang praktikal zaman dulu.
Tapi nampaknya, zaman kegemilangan servis ni dah sampai ke penghujungnya.
Berkuat Kuasa Serta-Merta!
Melalui satu makluman rasmi daripada bahagian Mass Market Marketing Operations (MMMO) TM, perkhidmatan One Number Service (1-700) kini ditamatkan secara rasmi berkuat kuasa serta-merta!
Ya, betul. Tiada lagi pendaftaran baru dan penamatan ini turut melibatkan semua pelanggan sedia ada servis 1-700 di seluruh negara.
Seiring dengan pengumuman drastik ini, semua pihak pengedar, cawangan TMpoint, dan agen pemasaran diwajibkan menarik balik serta membuang serta-merta semua bahan promosi atau brosur yang berkaitan dengan nombor 1-700 ini. Maknanya, servis ini memang dah dikira void.
Bagaimana TM Maklumkan Kepada Pengguna Sedia Ada?
Mesti ada yang tertanya-tanya, macam mana dengan syarikat atau pelanggan yang masih gunakan nombor 1-700 ni pada kad bisnes atau website diorang sekarang?
Pihak TM menyatakan yang pemakluman rasmi kepada semua pelanggan terlibat akan disalurkan melalui empat saluran utama:
- Surat Rasmi: Dihantar terus ke alamat bil yang berdaftar dengan TM.
- Emel: Notis rasmi dihantar ke emel pelanggan yang berdaftar.
- Mesej Pada Bil: Pemberitahuan akan dicetak di dalam bil bulanan pelanggan (sama ada salinan fizikal mahupun bil digital/softcopy).
- Portal Rasmi TM: Pengumuman rasmi di laman web www.tm.com.my.
Pandangan Hafizal: Tanda Perubahan Trend Teknologi
Bila tengok balik, penamatan servis 1-700 ni sebenarnya dah boleh dijangka. Dengan perkembangan pantas teknologi Unifi, gentian optik, dan integrasi talian maya (VoIP/Cloud PBX) yang jauh lebih jimat serta fleksibel, servis konvensional macam ni memang perlahan-lahan akan ditinggalkan. Orang bisnes sekarang pun dah mula beralih ke saluran digital dan sistem komunikasi berpusat yang lebih moden.
Apapun, jasa servis 1-700 ni dalam memudahkan urusan pelanggan dan usahawan tempatan satu ketika dulu memang tak dinafikan. Selamat tinggal 1-700!
Ada sesiapa kat sini yang bisnes dia masih pakai nombor 1-700 ni? Kongsikan kat ruangan komen macam mana korang rancang nak tukar nombor talian korang lepas ni ya!
![]()