Hafizal Broadband

Sekeping Pelekat Servis Di Cermin Kereta Arwah Abah

Pagi tadi aku bawa kereta arwah abah ke bengkel Fifteen Tyre cawangan indera mahkota Kuantan untuk tukar kesemua empat biji tayar. Bila kereta dah siap dan cermin depan dilap bersih, mata aku tiba-tiba melekat pada sekeping pelekat kecil di bucu atas cermin.

Pelekat servis rasmi Perodua berwarna hitam dan merah, bertulis tangan: KTN 1.

Dada aku terus rasa sempit. Tarikh itu.. aku bawa abah ke SC. Melayan dia makan nasi lemak kat situ dan bancuh kopi untuk dia. Santai.. tapi rasa macam baru semalam aku tolak pintu pusat servis Perodua di Jalan Kuantan tu sambil memimpin abah masuk. Abah dah pergi… saat aku menulis ni.. abah dah pergi meningalkan aku 130 hari..

Masa tu, abah dah tak sekuat dulu. Aku yang pegang stereng, bawa abah teman pergi servis kereta. Waktu staf servis panggil nombor giliran, aku duduk sebelah abah atas kerusi sofa ruang menunggu. Kami borak kosong sambil hirup kopi mesin percuma yang disediakan, tengok cermin besar memerhati pomen buat kerja dari jauh. Tak ada topik berat, cuma sembang pasal cuaca, pasal sakit sendi abah, dan bila kereta ni boleh siap. Rutin biasa seorang anak yang temankan seorang ayah.

Tapi pagi ini, bila abah dah tiada buat selamanya, baru aku sedar bahawa saat-saat “biasa” itulah perkara paling mahal di dunia yang takkan mampu aku beli semula.

Di sebelah pelekat Perodua tu, tauke kedai tayar baru saja tampal pelekat putih Fifteen Tyre bertarikh hari ini. Hidup ini memang kena terus berjalan. Roda kereta terus berputar, tayar haus mesti diganti, dan jalan raya tetap perlu diredah. Kereta peninggalan arwah ini pun masih setia aku pandu ke sana ke mari, terutamanya untuk bawa mak ke klinik dan uruskan apa yang patut.

Orang lain yang lalu-lalang cuma nampak pelekat plastik kecil yang dah luput tarikh servisnya. Tapi bagi aku, tulisan dakwat hitam “KTN 1” tu adalah bukti sejarah kali terakhir aku berbakti membawa abah keluar bersama.

Pelekat tayar baru dah bertambah, tapi pelekat servis arwah abah tetap takkan aku usik. Biarlah ia terus melekat di situ, menemani setiap inci perjalanan aku sebagai peringatan tentang seorang lelaki hebat yang pernah duduk di kerusi sebelah.

Al-Fatihah buat abah. Moga setiap putaran tayar baru ini mengalirkan pahala yang berterusan untuk abah di alam sana.

Loading

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Hafizal Broadband