Assalammualaikum korang.
Sedar tak sedar, pejam celik pejam celik, dah masuk pertengahan tahun 2026 kita ya. Masa sekarang ni kalau berjalan memang tak agak-agak, punya la laju macam internet 5G kat kawasan bandar—itu pun kalau tak throttle la, haha. Tahu-tahu, esok lusa dah setel Raya Haji.
Korang raya kat mana tahun ni? Macam mana, meriah tak? Hafizal macam biasa la, raya ke tak raya, kalau dah nama bekerja dalam bidang IT Support ni, jadual minggu raya pun boleh jadi “padat” macam tin sardin.
Misi IT Support di Cawangan Raub & ‘Raya Drive-Thru’
Mungkin ada yang ingat aku ni goyang kaki kat Ibu Pejabat (HQ) je memanjang, kan? Hakikatnya, tanggungjawab jaga network PC dan Wi-Fi untuk seluruh pejabat daerah dan cawangan satu Pahang ni bukan benda remeh.
Macam hari Selasa hari tu, orang lain dah cuti atau sibuk buat persiapan raya, tapi aku terpaksa gerak outstation ke Raub. Ada tiket tugasan kecemasan—isu network PC dengan Wi-Fi kat pejabat cawangan sana buat hal. Memang mencabar betul kena turun site minggu raya ni, dengan kepala otak fikir nak balik kampung lagi. Tapi alhamdulillah, lepas godek-godek router dengan setelkan isu PC kat sana, semuanya kembali up dan stabil semula.
Selesai je misi kat Raub, malam tu aku terus shoot pulang ke rumah mak aku untuk bermalam di sana. Dapatlah merasa suasana malam raya dengan mak tercinta.
Tapi tu lah, nama pun menantu mithali kan? Esoknya, tengah hari raya pertama tu juga aku dah kena pack barang, hidupkan enjin, dan terus pulang ke kampung wife pula. Sambung sambut Aidiladha kat sana. Adil dan saksama, baru lah rumah tangga harmoni, betul tak? Hehe.
Baru Sampai Kuantan, Telefon Dah Bergetar Gila-Gila!
Haa, dipendekkan cerita, aku pun baru je menjejakkan kaki balik ke Kuantan ni. Penat drive pun tak hilang lagi, tapi disebabkan sayang punya pasal kat blog hafizalbroadband.com ni, aku gagahkan juga tangan buka laptop untuk mencoret sikit.
Tapi yang kelakarnya, belum sempat aku nak duduk rehat, aku terima voice note…Rupa-rupanya Pengerusi KRT (Kawasan Rukun Tetangga) taman aku cari aku dari pagi lagi. Beliau siap contact mintak aku tolong update Facebook Page KRT dengan program ibadah korban dan akikah yang diorang buat.
Haah , lupa agaknya dia yang aku dah beritahu awal-awal hari tu, raya kedua ni aku balik kampung wife. Pagi-pagi lagi dah dicari kita ya, haha! Tak apa lah, demi komuniti, kejap lagi aku setelkan lah update Facebook Page tu.

Selamat Hari Raya Aidiladha! Hidup Mesti Terus!
Apapun ceritanya, Hafizal nak ambil kesempatan ni untuk ucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 2026 kepada korang semua yang sudi singgah membaca blog ni.
Pesanan ikhlas dari aku: Hidup mesti terus!
Jangan sebab ada masalah sikit, kita dah nak mengalah. Kita kena kuat. Cukuplah sekadar binatang ternakan korban je yang dikorbankan hari raya ni, manakala semangat dan jiwa kita untuk terus maju ke hadapan dalam hidup ni jangan sesekali dikorbankan atau dikuburkan.
Bagi yang masih dalam perjalanan cuti raya, pandu kenderaan tu elok-elok. Jangan makan daging banyak sangat, kolesterol tu jaga sama!
Salam Aidiladha dari Hafizal Broadband!
![]()